Selamat

Assalamualaikum.

Malam dah makin larut. Sejam dua jam lagi Subuh pula menjelang. Mata aku bila dah telan macam-macam ubat, ada yang buat lelap terus beradu, ada pula yang bikin mata terjegil tidur pun tak lalu. Heh!

Malam-malam begini, aku selalu ingin kembali pada kebiasaan aku yang dulu-dulu. Siapa yang rapat dan mengenali aku, akan tahu aku ini bagaimana orangnya. Aku suka ucap "Selamat". Selamat pagi, selamat malam, selamat tidur, selamat makan, selamat pulang, selamat dan selamat dan selamat lagi. Kadang ada yang rimas, kadang ada yang menghargai. Bagi aku "Selamat" itu keramat, ia ibarat mendoakan untuk kesejahteraan orang yang diucapkan kepada itu. "Selamat" ibarat penghubung, buat aku terasa yang jauh mampu jadi dekat.

Aku masih seperti dulu, "selamat" masih lagi denganku, tak pernah kekang dari bibirku bila berbicara bersama orang-orang yang aku sayang. Tapi sekarang, bila aku harus melupakan rasa pada seseorang, "Selamat" itu harus aku jauhkan supaya aku tak terasa dekat lagi. Biar ada jarak, biar jauh, asal rasa itu suatu hari hilang juga. Biar aku kenal insan itu macam awal-awal dulu, tanpa rasa. Dan ketika itu, "Selamat" itu pasti akan kembali, "Selamat" yang bukan lagi diucap dengan rasa yang ada seperti saat ini.

Cuma "Selamat" itu terasa sukar untuk disimpan, terasa mahu diucap pada yang perlu dilupakan, macam dulu-dulu. Sukar juga mengekang rasa. Astaghfirullah. Ampunkan aku Tuhan kerana kadang lalai dengan rasa ini. Jauhkan rasa ini Ya Allah, jika ianya tidak sepatutnya bercambah dalam hati.

Selamat malam. Ya, aku ingin ucap itu. Selamat malam. Assalamualaikum. 



Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?