MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet
Assalamualaikum.
Okay, first of all, pictures attached in this post are taken from Google, credit to the respected site.
Atas sebab tidak mahu blog ini terus tercungap-cungap, ibarat nyawa-nyawa ikan sebab jarang ada post baru, jadi aku ambil keputusan untuk kongsikan pengalaman menjalani MRI di Hospital Melaka pada hari ini, 1 Julai 2013.
Temujanji aku adalah pada pukul 2 petang tapi dah menjadi kebiasaan untuk aku datang lebih awal 10 minit untuk apa juga temujanji. Prinsip yang terbaik kita pegang, biar kita tunggu orang, jangan orang tunggu kita. Berdebar tak usah dikatalah, sepanjang jalan menuju ke MRI suite memang hati berdebar memanjang.
Setelah selesai pendaftaran, aku diberikan baju hospital untuk ditukar. Segala macam peralatan besi yang ada pada badan perlulah ditanggal kerana seperti yang aku tulis di atas, ianya adalah gua MAGNET. Sebelum menjalani MRI juga ada checklist yang perlu ditanya kepada pesakit contohnya seperti pernah menjalani pembedahan memasukkan sebarang jenis besi dalam tubuh, allergy dan lain-lain lagi.
Sebab utama ditanya tentang allergy adalah prosedur MRI ini ada waktunya memerlukan penggunaan sejenis bahan yang kita namakan "CONTRAST" yang disalurkan melalui saluran darah untuk tujuan melihat sesuatu struktur dalam tubuh badan kita dengan lebih jelas. Ada kumpulan pesakit yang alah pada bahan contrast ini maka mereka selalunya akan diberikan ubatan seperti steroid sebelum memulakan prosedur ini. Perkara sama juga berlaku seperti proses CT scan.
Setelah menukar persalinan dan mencabut segala apa yang perlu seperti jam tangan, tudung dibenarkan untuk dipakai ya, lalu aku pun menuju ke bilik MRI. Aku disuruh berbaring dan dibawah kaki aku diletakkan bantal tinggi. Aku pandang gua magnet tersebut, lubangnya yang agak kecil buat aku tertanya bolehkah tubuh besar ini muat ke dalamnya.
Sebelum bermula, aku dijelaskan serba sedikit tentang proses yang akan aku lalui oleh radiographer. Selepas itu aku diberi sebuah alat untuk ditekan jika aku mengalami masalah ketika berada di dalam mesin tersebut. Headphone juga dibekalkan kerana ketika proses ini dijalankan ada bermacam-macam bunyi pelik yang akan anda dengar.
Sister yang bertugas menyarankan agar aku menutup mata sebelum masuk ke dalam mesin tersebut supaya tidak rasa takut dan terkejut. Saat ditolak masuk ke dalam, dada aku sudah berombak kuat, rasa seperti mahu menangis pun ada, rasa seperti mahu keluar dari tempat itu pun ada, seluruh tubuh sudah berpeluh walau nyatanya di dalam suite tersebut sejuk sesejuknya.
Mata aku masih tertutup rapat. Adalah dalam 10 minit aku tutup rapat mata ini sampaikan aku rasa kelopak mata aku menggigil. Entah sebab ketakutan atau sebab dipejam terlalu kuat. Nafas aku makin kuat kedengaran, denyut nadi pun aku kira pasti naik tinggi, sungguh aku rasa takut untuk buka mata. Tambahan pula dengan macam-macam bunyi yang ada di dalam mesin tersebut, bunyi seperti siren yang sangat membingitkan telinga.
Aku baca bismillah, apa juga surah yang aku ingat, doa untuk tenangkan hati dan fikiran, lalu perlahan-lahan aku buka mata. Wow!! Rasa seperti di dalam keranda. Walaupun aku tak pernah merasa berbaring di dalam keranda. Tapi aku yakin begitulah rasanya. Jarak muka dengan dinding gua agak dekat. Aku mula rasa tak selesa selepas buka mata. Nafas berombak kembali jadi aku ambil keputusan untuk tutup semula mata sehinggalah tamat prosedur tersebut.
Semasa di dalam mesin itu, disebabkan keadaan aku yang tak selesa, aku banyak bergerak dan ini sebenarnya tidak dibenarkan. Masa aku keluar dari mesin itu, radiographer itu bertanya kenapa aku asyik saja gosok hidung. Sebab menurut radiographer tersebut, mesin MRI ini sangat sensitif, jadi sedikit pergerakan pun akan mengganggu. Aku teringat arahan beliau, "Tolong jangan bergerak ya. Sekejap saja. 5 minit saja lagi." Aku tersengih di dalam mesin itu. Maaflah encik radiographer, saya sesak nafas sebab itu tangan saya tak reti duduk diam mencari hidung saya.
Selesai segalanya, lega memang tak terkatalah. Perasaan panik itu cuma dalam 15 minit pertama saja, dan sekiranya mata dibiar terpejam rapat, aku kira tak ada masalah sangat. You can go through it smoothly. Cuma aku tak tahulah macam mana jika proses itu makan masa sampai berjam-jam. Mahu keras kejung dalam mesin tersebut. Keras kejung sebab ketakutan. Heh.
Apa nak dikata, satu pengalaman "indah". Aku rasa mungkin keputusannya adalah normal sebab ujian nerve conduction study aku telah menunjukkan sesuatu yang mana jika MRI dibuat pun, keputusannya mungkin normal. Apa pun, tak sabar nak ambil report keesokan harinya. Semoga semuanya okay dan hati aku akan kembali tenang. Semenjak follow up di bawah Neurology, hati aku sikit pun tak tenang. Risau dan bimbang, dan macam-macam lagi perasaan. InsyaALLAH, doa supaya segalanya baik-baik saja.
Have a great weekdays people. Take care. Assalamualaikum.
Ulasan
Aku x suka ltk bntal tinggi bwh lutut tu. Pesakit lagi suka gerak tpi yg bgusnya tulang belakang x brapa lentik, senang nak plan scan.
abis tu ok x ok masok dlm gua tu
kira kita kena kool jgn panik lah ms nak msok tu eh
berapakah kos MRI di hospital melaka
Maaf. Saya tak berapa pasti, saya pun sebab direfer oleh bos saya, saya kerja dekat Hospital Melaka masa tu.