Nak Tak?

Assalamualaikum.

Sempat membaca sebuah artikel lama yang dikongsi sahabat di laman mukabuku. Artikel tahun 2012 yang dikarang oleh Ustaz Hasrizal di laman Saifulislam cukup buat aku sengih rabak mulut. Panduan yang sangat bagus untuk para jejaka di luar sana. Ehem! Penat sungguh mencari cinta ya. Hehe.

Meh aku kongsikan sedikit point-point dalam artikel yang bertajuk PANDUAN MENGAHWINI SEORANG DOKTOR.

* * *

GADIS ITU DOKTOR 

Anda mengahwini seorang gadis, yang anda pilih, dan cintai, kerana dirinya adalah dirinya, sebelum beliau seorang doktor. Pandanglah dia sebagai gadis itu, bukan sebagai seorang doktor. Dia mahu dirinya dicintai sebagai dirinya. 

Jika dirinya melakukan kesilapan, ia adalah kerana dirinya adalah dirinya, bukan kerana dia itu seorang doktor. Dia doktor di hospital atau klinik, tetapi dia ada gadis itu di hospital, klinik dan luar hospital serta luar klinik.

* * *

KESIBUKAN 

Kerja lain pun sibuk juga. Tetapi bekerja sebagai doktor memang sibuk. Namun sibuknya hanya seketika, di beberapa tahun permulaan bekerja. Ketika houseman (internship), ketika menjadi pegawai perubatan (MO), ketika tahun pertama hingga keempat semasa mengikuti program Sarjana Klinikal hingga berjaya menjadi pakar. Semasa beliau menjadi pakar, beliau masih sibuk, tetapi Insya Allah ketika itu anda juga sudah menjadi pakar menguruskan kesibukan  diri dan isteri. 

Jadi, jangan terkejut dengan kesibukan, menyalahkan kesibukan, marah-marah dengan kesibukan kerana ia sesuatu yang sepatutnya sudah ada dalam jangkaan. Mana mungkin semasa memandu di lebuhraya, tiba-tiba and terkejut melihat plaza tol! Memang ia sudah ada dalam jangkaan. Sediakan siling atau touch and go, sampai waktunya, bertindaklah seperti yang sepatutnya.


MENJADI SURI RUMAH?  (PALING AKU SUKA. HEEE.)

Jangan paksa doktor itu berhenti kerja dan menjadi suri rumah. Jika anda berpegang dengan pendapat wanita lebih baik duduk di rumah, janganlah mengahwini seorang doktor. Perbelanjaan besar untuk menghasilkan seorang doktor. Pengorbanan yang besar untuk menghasilkan seorang doktor. Tugasan fardhu kifayah yang besar di bahu seorang doktor. Semuanya besar belaka apabila namanya doktor. 

Tetapi jika isteri anda berpendapat lebih baik berhenti kerja dan menjadi suri rumah, berilah sokongan kepada apa yang beliau yakini terbaik kerana itu akan membantu beliau membuat keputusan dengan baik, dan seterusnya keputusan yang dibuat menjadikan beliau seorang yang lebih baik. Anda dan anak-anak juga akan menikmatinya. Apa sahaja pilihan, sentiasa win some lose some. Berbijaksanalah kita dalam mengendalikannya.

* * *

HAL-HAL SAMPINGAN 

Doktor mungkin balik ke rumah membawa bakteria, batuk-batuk, conjunctivitis, bronchiolitis dan sakit-sakit berjangkit yang lain dengan kadar kebarangkalian yang tinggi sedikit berbanding kerjaya-kerjaya yang lain. Doktor itu juga mungkin akan terlebih risaukan kesihatan keluarganya, atau terlebih selamba terhadap kesihatan keluarganya. 

Anda beristerikan doktor, sedangkan anak anda mungkin (saya katakan, mungkin) berazam untuk tidak menjadi doktor. Anda rindukan pengalaman ke klinik kerana selepas berkahwin mungkin amat jarang anda akan ke klinik untuk mendapatkan ubat. 

Semua hal ini, remeh temeh, tetapi jika anda seorang yang kreatif, ia boleh menjadi perencah yang menceriakan rumahtangga! Batuk sama-sama. Selsema sama-sama. Mata merah ramai-ramai. Macam orang lain juga. Tetapi boleh bermain hospital-hospital di rumah dengan anak-anak!


KESIMPULAN 

Mahu hebat,  mesti berani mendepani risiko. Tidak boleh berjiwa pesakit lagi berpenyakit. Berkahwin dengan doktor, sangat besar khasiatnya untuk seorang lelaki hebat yang bersemangat nak masuk SYURGA ALLAH. 

Nak tak? 

HASRIZAL 43000 BSP Presiden Lantikan Sendiri Kelab Suami Doktor!

Kredit entry kepada Ustaz Hasrizal

* * *

Dek kerana sukakan perkataan NAK TAK maka aku jadikan tajuk entry, nak tak? Aku tengok ramai kawan-kawan aku berkahwin sesama doktor, tapi tak kurang juga yang berkahwin berlainan profesion, agaknya aku macam mana ya? Hmmm. 

Hati nak mencari tapi tiada daya, tapi tak mencari tak usaha orang kata ianya takkan datang bergolek depan mata. Haha. Redha sajalah. Semoga akan datang nanti, berjumpalah doktor Cahaya Yang Riang Gembira ini dengan insan yang akan melengkapi hidupnya. Aamin.

Salam Maghrib semua. Jaga diri. Assalamualaikum.
:)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?