Cinta, Kasih Sayang, Pengorbanan

Assalamualaikum.

Salam hujung minggu. Dua tiga menjak hati fikiran banyak celarunya, jadi dengan menulis saja aku dapat leraikan sikit kekusutan yang menghambat diri. Ikutkan hati nak sambung novel yang terbengkalai dalam blog, rangka semua dah ada, tinggal nak menulis saja. Tapi malasnya bukan main lagi.

Kisah ini berlaku seminggu yang sudah, waktu itu aku baru pulang mengambil adik aku pulang dari kerja. Kebetulan juga orang baru balik dari sembahyang Jumaat di Masjid Al Azim. Ketika itu lampu isyarat dari kuning nak bertukar merah, kereta-kereta di depan aku bawa dengan perlahan, rupanya di depan sana ada sebuah motosikal yang ada carrier, sebiji sama dengan motosikal dalam gambar di bawah.

Si penunggangnya adalah seorang lelaki berbaju Melayu lusuh, aku rasa usianya dalam awal 30an, dan di dalam carrier pula duduk si isterinya yang mendukung anaknya yang masih kecil, aku jangkakan dalam 1 tahun atau 2 tahun usianya. Ketika itu cuaca panas terik tetapi ditemani hujan rintik. Dan aku perhatikan ramai pemandu-pemandu yang melemparkan pandangan pada tiga beranak ini.


Entah kenapa dan dari mana datang perasaan yang teramatlah sebak sehingga mengalir air mata tak henti. Aku perhatikan keluarga ini menggunakan cermin sisi kereta. Pasangan suami isteri ini sedikit pun tidak kelihatan seperti tak selesa walaupun banyak mata memandang ke arah mereka. Cumanya si isteri berusaha menggunakan kain tudungnya untuk menutup kepala anaknya supaya tidak terkena panas dan hujan. Si suami sambil mengusap bahu isterinya sambil bergurau dengan anaknya.

Yang membuat aku sebak dan mengalir air mata sebab mengingatkan kembali ceramah Ustaz Asri bertajuk Taubat & Doa yang aku dengar beberapa hari sebelum itu. Ustaz Asri kata, kadang apa yang kita minta bukan itu yang kita dapat, tapi sebenarnya kita lupa, Allah lebih tahu apa yang kita perlukan. DIA sentiasa perkenankan doa kita tapi mungkin dalam bentuk yang berbeza dan tak seperti yang kita minta. Dan kita perlulah sentiasa bersyukur.

Melihatkan keluarga 3 beranak itu, buat aku sedar, walau macam mana aku rasa diri aku susah dan diduga, ada lagi insan di luar sana yang diduga dengan lebih hebat. Aku berdoa, moga Allah berikan pasangan ini dan anaknya kebahagiaan, kesenangan dan dipermudahkan kehidupan mereka.

Ia juga buat aku teringatkan mak dan abah. Pengorbanan ayah dan ibu sememangnya tiada nilai, mereka akan cuba sedaya upaya melindungi kita, memberi kesenangan hidup pada kita, terlalu banyak pengorbanan mereka. Semoga anak itu membesar menjadi anak yang baik dan berbakti kepada ibu dan ayahnya.


Dan saat aku menaip ketika ini, lahir rasa kagum aku pada wanita itu yang berdiri teguh bersama suaminya. Itu yang buat aku teringat dengan cebisan ayat yang berbunyi, "Kesetiaan wanita diuji saat lelaki tak punya apa-apa. Tapi kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya." Aku doakan si isteri terus teguh berdiri di sisi suaminya dan si suami akan sentiasa sayang dan setia pada isterinya walau nanti sudah senang kehidupannya.

Salam hujung minggu semua. Assalamualaikum.

Ulasan

EkaTikah berkata…
kesian bila tgk org mcm ni. walaubagaimana pun, rasa kagum tetap ada kan. Moga Allah permudahkan urusan dan murahkan rezeki mereka sekeluarga :)

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?