UPS DOWNS UPS DOWNS
Assalamualaikum.
Bila dicongak-congak, sudah cecah sebulan semenjak aku buat "keputusan itu", antara sebuah keputusan yang terbesar dalam hidup aku. Sampai saat dan ketika ini, aku masih lagi terasa seperti di dalam dua dimensi yang berbeza. Realitikah atau mimpikah? Masih ada segumpal perasaan dalam diri aku yang seolah menarik aku ke depan tapi dalam masa yang sama ada tangan lain yang mencuit aku dari belakang.
Aku mula jadi ragu. Aku rasa teragak-agak. Sedangkan saat aku lakukan "keputusan itu", aku yakin dengan apa yang aku inginkan dalam kehidupan aku saat dan ketika ini. Jujurnya situasi banyak mencaras keyakinan aku, banyak menjatuhkan semangat aku, banyak buat aku mempersoalkan kredibiliti diri sendiri.
Banyak. Banyak. Yang buat aku turun. Turun. Dan turun. D.O.W.N.!!!
Melihat rakan-rakan aku sendiri sudah cukup menjentik semangat yang aku bina sekukuh tembok batu. Lantas aku mula menjadikan diri aku bahan untuk dibandingkan dengan mereka. Aku ukur kehidupan aku dan kehidupan mereka. Walhal aku cukup tahu, setiap dari kita sama, yang membezakan kita cuma amal bukan taraf dan bukan juga wang.
Walau sebulan telah berlalu, aku masih terasa kosong. Saban malam, ada waktunya hati aku tercuit. Air mata itu seperti sudah terbiasa untuk gugur. Keputusan yang aku buat seolah menolak aku ke suatu sudut, tersepit. Hari-hari yang aku lalui, aku rasakan seperti orang asing di tanah sendiri.
Aku ingin ada yang berdiri bersama aku. Duduk dengan aku. Dan tepuk bahu aku, peluk aku dan kata, "APA PUN KEPUTUSAN YANG DIAMBIL, KAMI SENTIASA SOKONG BELAKANG AWAK." Mungkin kerana aku tak pernah lagi mendengar kata dan perlakuan seperti itu, perasaan aku begitu senang merapuh. Sehinggakan aku terasa sangat terasing. Terasing di bumi sendiri.
Mengerti perasaan itu? Kau rasa kau berdiri dikelilingi orang-orang yang rapat dan kau kenali, tapi tiada satu pun yang bersama kau. Sebaliknya ada waktu kau terasa mereka menunding jari semula pada kau, menyalahkan kau, dan perlahan-lahan menjarakkan diri dari kau. Ya, perasaan itu. Perasaan terasing di bumi sendiri.
Kini aku cuma pinta dan berdoa, untuk jadi kuat. Untuk meyakinkan orang-orang yang tak pernah yakin dengan keputusan aku. Untuk berdiri lalu menuju ke depan, dan dibelakangku ada tangan-tangan yang menyokong aku agar aku terus ke depan. Rasa TURUN dan DOWN itu pasti akan ada dalam hidup, tapi jangan lupa, NAIK dan UPS itu pelengkapnya. Jatuhlah, tersadunglah, yang penting lepas kita jatuh dan tersadung, kita bangkit semula dan bukan terus-terusan berteluku atas tanah meraung menangis dan mempertikaikan kehidupan.
Senyum. Menangis macam mana pun, jangan lupa untuk senyum selepas itu. Tangisan dan senyuman, itu kekuatan juga kan?
Salam Jumaat semua. Jaga diri. Assalamualaikum.
Ulasan
baru brcadang nak ambil kputusan sbegitu pun,org dah mcm tak terima sy seadanya
mcm mana awk bangkit ya?