Tik Tok Tik Tok

Assalamualaikum.

Malam makin larut. Jari jemari masih lagi gagah menaip walau hakikatnya mata makin layu. Malam sebelumnya, aku letak kepala, aku pusing kiri, aku pusing kanan, entah berapa juta kali rasanya aku berkalih posisi di perbaringan tapi tak juga terasa kena dengan kepala. Seperti tidur di tempat asing gamaknya.

Kepala runsing. Otak pusing. Hati terasa bagai diruntun, tapi tidak pula mengalirkan air mata. Perasaan apakah yang berbolak balik dalam hati ini, yang bikin ketenteraman jiwa berkocak bagai nak gila. Takut. Sedih. Menyesal. Kaku. Tiada mampu lagi diterjemahkan melalui kata juga lenggok badannya.

Malam sebelumnya, malam yang sama sebelum mata tak mampu lena, aku diberitahu tentang pemergian seorang yang aku tidak kenali. Cuma yang ku tahu, arwah adalah saudara seShaklee, yang sama berniaga, dalam lingkungan yang sama. Meninggalnya pada usia muda, hampir sebaya. 27 kurang lebih begitulah yang aku dengar. Pemergiannya begitu mengejutkan. Hanya kerana seminggu menderita jangkitan dalam telinga, tiba-tiba dia pergi dijemputNYA. Ditinggalkannya 3 orang cahaya mata yang masih kecil dan tidak mengerti apa. Yang masih menyusu badan lagi si kecil anak bongsunya. 

Walaupun aku tidak mengenalinya, tapi pemergian arwah begitu terkesan sekali padaku. Bermacam perkara bermain difikiran aku. Dia terlalu muda. Kasihan anak-anaknya. Apakah nasib mereka.  Dan begitu banyak lagi soalan yang bermain dalam fikiranku ini. Persoalan yang bikin aku berkalih dari kiri ke kanan, mata tak mampu lelap sampailah ke subuhnya.

Ya. Benar. Ajal tak mengira usia. Tik tok tik tok. Masa terus berjalan. Samada kita sedar atau tanpa sedar, kita biarkan ianya berlalu begitu saja. Kita tersedar sebentar, lalu kita lalai kembali, terhantuk lagi, lalu kembali lalai lagi dan lagi. Sampai bila? Sampai nanti masa sudah tiada untuk kita? Sampai pintu taubat terus tertutup untuk kita?

Tik tok tik tok. Masa terus berjalan. Waktu ini. Saat ini. Sekarang. Harus berubah jadi lebih baik dari yang ini. Harus. Kalau tak, bila lagi?

Selamat malam. Assalamualaikum.


P/S : Sebagai seorang doktor, aku selalu menghadapi kesakitan, kematian. Bukan satu bukan dua pesakit, tapi entah tak terkira. Aku patut bersyukur. Kerana seharusnya itu buatkan aku lebih dekat dengan DIA.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?