Bahagiamu Deritaku?

Assalamualaikum.

Amboi. Tajuk saja nak ambil aura lagu yang tengah popular sekarang. Tambah lagi boleh kata tiap-tiap hari aku dengar adik lelaki aku petik gitar sambil memekik lagu nyanyian Hafiz ini. Bahagia, derita, bahagia, derita. Apa kes?

Bulan Mei bulan Jun bulan yang penuh dengan kebahagiaan dan kegembiraan untuk kebanyakan orang. Ada yang bertunang, ada yang mendirikan rumahtangga, ada pula yang menyambut kelahiran anak yang dikandung selama 9 bulan. Bahagia kan?

Rakan-rakan sekolah menengah aku, semua dalam perjalanan menambah anak kedua. Cuma menanti untuk meletup saja. Satu matriks pula masing-masing sedang seronok berpantang dan menyusukan anak pertama. Yang mana satu universiti semuanya menyatakan kegembiraan telah hamil beberapa minggu, beberapa bulan.

Musim untuk aku cemburu pada rakan-rakan yang mendirikan perkahwinan dah pun berlalu. Ewah. Boleh pula berlalu pergi ya. Sekarang musim mencemburui mereka-mereka yang sibuk mendukung bayi kecil, yang sedang sarat mengandung, yang sedang pimpin tangan anak kiri dan kanan. Entah kenapa kali ini cemburu yang dirasakan adalah lebih teruk berbanding cemburu-cemburu yang dahulunya. Haha. Boleh pula sambil belek-belek mukabuku dan tengok bayi-bayi comel, anak-anak sahabatku, pasti meleleh barang setitik dua titik air mata. Ah! Hati tisu ini tersentuh lagi. Dan malamnya sebelum tidur, pasti duduk merenung siling dan berfikir tentang masa depan.

Aku sampai berfikir, kalau tak ditakdirkan untuk berkahwin pun tak apalah, yang penting aku mahu ada anak. Selalu aku duduk berangan, aku terjumpa bayi yang dibuang orang, lalu aku kutip, aku jaga. Memikirkan itu sangat membahagiakan. Sudah cukup. Tak akan minta lebih-lebih lagi dah.

Bukan aku tak bersyukur, bukan juga aku mempertikaikan, aku sedar dan aku masih kuat berpegang setiap dari kita akan tiba waktu masing-masing, setiap dari kita Allah sudah berikan bahagian rezeki masing-masing. Berusaha dan berserah selebihnya.

Tapi.. Tak salah kan kalau ada waktunya rasa seperti itu hadir dalam diri kita. Namanya pun manusia, yang ada macam-macam perasaan dalam diri. Lagipun kalau rasa cemburu boleh mendorong diri kita ke depan, bukankah itu bagus?


 Bahagiamu deritaku? Oh tidak! Tak semestinya bila orang lain bahagia, kita tak boleh bahagia. Bahagia atau derita kita yang berhak tentukan sebab ianya hidup kita. Kan? Seharusnya bahagiamu bahagiaku jua. Bahagiamu datang dulu, bahagiaku akan hadir kemudian. Tapi, bahagia akan tetap datang. Betul tak cik bahagia? ^^

Aku ibaratkan kehidupan aku macam baton dalam lari berganti-ganti. Dan setiap pelari itu adalah insan-insan penting dalam hidup aku, mak ayah, adik beradik, rakan-rakan baik termasuklah juga diri aku sendiri. Dan, the unknown other half. Macam mana kita penat tercungap-cungap, cedera, kita jatuh tergolek dalam larian itu, kita kena berusaha kejar penamat itu. Penamat itu adalah bahagia. Cepat atau lambat, kita tetap akan sampai. Nikmatilah setiap fasa larian itu bersama pelarinya. Itu yang penting. Sebab kesemua merekalah yang bawa kita menuju penamat, bila kita penat lelah tak larat meneruskannya, ingatlah, mereka juga ada di situ. Kita bukan berlari seorang diri. :)


Selamat malam semua. Jaga diri. Assalamualaikum.


HEART SPEAKS : Andai kata aku pergi dulu suatu hari nanti, aku harap pelari-pelari dalam hidup aku akan tetap teruskan larian mereka sampai ke garisan penamat. :)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?