Hamari Adhuri Kahani, Sebuah Kisah Cinta Terlarang?
Assalamualaikum.
Nampak tak bila dah mula menulis satu review rasa nak tulis lagi dan lagi? Argh!! Kegilaan nak menulis begitu membuak-buak, cuma tiada motivasi. Haih.
Beberapa minggu lepas dah Dilwale, dah layan Shah Rukh Khan dan Kajol, kali ini kita tukar sikit genre, lupakan aksi, ini sebuah filem bergenre romantik semata. Ya, kisah cinta. Atau mungkin kisah cinta terlarang? Hmm.
Hamari Adhuri Kahani bermaksud "kisah kita yang belum sempurna", filem berdurasi 2 jam 9 minit ini mencatat rating IMDB 6.5/10. Ops! Lebih tinggi dari Dilwale. Haha. Filem ini diterajui oleh Vidya Balan sebagai Vasudha dan juga Emraan Hashmi sebagai Aarav Ruparel. Keduanya merupakan pelakon senior dalam dunia Bollywood. Emraan Hashmi terkenal dengan lakonan panasnya, manakala Vidya Balan seorang yang versatile dan mampu bawakan apa jua watak sekalipun.
Dunia perfileman Bollywood sekarang dah banyak kemajuan, dan banyak filem berkualiti. Namun dari segi "kenaifan" dan "innocence" itu mungkin makin berkurang, ada bukan tak ada, cuma rata-rata pengarah sekarang suka memasukkan adegan yang bersifat kebaratan, mereka jadi lebih terbuka dan tak konservatif. Apa pun, mana yang baik kita ambil, yang buruk dan tak elok, kita jadikan pengajaran.
Filem ini berkisarkan Vasudha, seorang isteri, seorang ibu, yang mana suaminya hilang tanpa khabar berita selama 5 tahun. Apa yang dia tahu, pihak polis memberitahunya bahawa suaminya adalah pengganas yang dikehendaki. Selama waktu itu, dia setia menanti, biarpun perkahwinannya bersama suaminya itu adalah atas dasar paksaan keluarga dan tanpa cinta. Seorang wanita yang biarpun hidup sunyi namun masih berpegang pada sisa harapan dan kepercayaan tentang perkahwinan.
Suatu hari, pintu hatinya diketuk dengan sebuah perasaan yang dinamakan cinta. Pertama kali dia merasakannya, sesuatu yang dia tak pernah rasakan selama 1 tahun dia hidup bersama suaminya. Dia rasakan cinta. Bagi Aarav Ruparel, hidupnya selama ini diselubungi kepahitan masa silam, hidupnya gelap tanpa arah tuju biarpun dia seorang businessman yang berjaya, hidupnya suram biarpun dilimpahi kesenangan dan kekayaan. Vasudha hadir dalam hidupnya bak cahaya.
Ya. Mereka jatuh cinta. Sehinggalah suami Vasudha, Hari, kembali dalam hidupnya dan menyatakan dia bukanlah seorang pengganas, dan dia tidak bersalah. Lihat macam mana ketiga-tiga insan yang terperangkap dalam soal perasaan ini belajar erti pengorbanan. Siapa yang akan beralah? Siapa sebenarnya yang bersalah? Atau cinta yang mereka rasakan itu sebenarnya tak salah?
Filem ini boleh tahan juga beratnya, tapi tak berat sangatlah. Haha. Lakonan Emraan Hashmi meyakinkan ditambah dengan mata redupnya itu, tapi aku rasakan lakonan Vidya Balan memang meruntun rasa habis. Satu jam pertama boleh tahan manisnya, jam kedua pula memang banjir dan berhabis sekotak tisu jugalah siap dengan stok hingus. Haha. Sedih weh sedih.
Dari segi moralnya, ianya memang salah. Walau macam mana pun, tetap salah. Filem ini sebenarnya cuba untuk mempersoalkan isu wanita yang "diperhambakan" dalam sebuah ikatan perkahwinan, sebuah tradisi yang dikatakan seolah-olah mengikat wanita yang kehilangan / kematian suami di India. Contoh macam seorang wanita yang kematian suami, tapi jika dia nak berkahwin baru, masyarakat akan mula berkata-kata dan mencerca. Itu yang terjadi di India, di sesetengah tempat. Jadi bila nak tengok filem ini, kena buka minda, kena faham kena hadam.
Satu dialog yang aku ingat masa Vasudha bergaduh dengan suaminya, "Kita semua hadir dalam hidup masing-masing dengan tujuan dan sebab. Awak hadir dalam hidup saya, untuk temukan saya dengan cinta saya."
Dari 10, aku beri 6.8. Ada orang mungkin akan rasa cerita ini membosankan, terpulang pada citarasa masing-masing. Tapi bagi aku, cerita ini cukup meruntun perasaan aku. Dan filem inilah yang buat aku mula meminati lagu-lagu nyanyian Arijit Singh. Alah, yang nyanyi lagu Gerua dan Janam-Janam. Haha. Tapi lagunya di dalam filem ini jauh lagi umph, lagi best.
Apa pun, cukuplah sampai sini. Sampai jumpa di lain review. Assalamualaikum.
"No, Vasudha. You love me too. A lot.
But you will never say it.
You will yearn for me, but never express it.
You'll keep running from me.
Wander in that desert in your heart.
You want to come closer to me.
Wrap your arms around me and cry, make a place in my heart!
But you won't do it.
But I'm not like you.
I can't live without telling you that I love you.
That I need you."
- AARAV RUPAREL -
Ulasan