Persis Hum Tum. Melangkah Pergi.

Assalamualaikum.

Hmm. Surat dah siap aku taip. Persediaan nak menghala ke Master pula nampak macam berliku, sekali sekala aku asyik toleh ke belakang memikirkan keputusan yang dah aku ambil. Perasaan aku bercampur baur, gembira ada, ralat ada, sedih dah tentu ada, dan entah macam-macam lagi perasaan yang aku rasa.

Pernah tengok filem Hindustan bertajuk Hum Tum lakonan Rani Mukherjee dan Saif Ali Khan? Rani berkahwin dengan Abhishek di pertengahan cerita, namun dia kehilangan suaminya dalam sebuah kemalangan. Dek kerana tidak mahu tinggal lagi di tempat yang penuh kenangan bersama suaminya, dan tidak mahu orang keliling memandangnya dengan pandangan simpati, apatah lagi tidak mahu orang keliling selalu bertanya tentang keadaan dirinya, akhirnya Rani mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara. 


Tinggallah dia Paris, jauh dari India, jauh dari manusia-manusia yang mengenalinya. Hidupnya kini bahagia. Bahagia kerana dia bernafas di atas bumi asing, dia menjadi orang asing dan kelilingnya juga adalah insan-insan asing dalam hidupnya.  Ya benar, dia lari, lari dari kelompok manusia yang mengenalinya, lari dari keadaan sekeliling yang dia sudah biasa. Dia mahu bina hidup baru.

Saat ini, ketika ini, itulah yang aku rasa. Saban malam, aku berbaring, tapi tak pernah mahu lelap. Kalau tidur pun tak pernah mahu nyenyak. Sebab aku dari dulu hingga kini, hidup dengan terlalu mengambil kira pandangan orang lain, kata orang lain. Dalam tak sedar ianya menjadikan aku manusia penakut yang kurang keyakinan diri. Itu yang mendera aku sekarang ini.


Bila aku belek Facebook, group WhatsApp, dapat mesej dari kawan-kawan sekolej semasa di sekolah perubatan dulu, aku jadi manusia kerdil. Aku terasa kecil, malu yang amat sangat. Buka Facebook, aku lihat senior aku ramai yang hidup selesa, sudah bergelar doktor senior, doktor pakar. Belek lagi Facebook, aku tengok rakan-rakan sekelas aku yang sama-sama bergraduasi semuanya menempuh housemanship dengan susah payah selama 2 tahun dan berjaya menghabiskannya. Junior-junior pula sudah mahu bergraduasi dan bakal mula bekerja.

Bila di antara mereka, perbualan dah tentu tentang pesakit begini begitu, penat lelah kerja di hospital di klinik, semuanya tentang dunia perubatan yang aku sendiri pernah jadi sebahagian darinya. Ya, pernah!!!

Aku jadi malu dengan mereka, jadi malu dengan orang-orang yang memanggil aku doktor, jadi malu bila ada yang bertanya aku sudah posting ke berapa, dari malu aku jadi sedih bila aku rasakan aku makin jauh dari rakan-rakan baik yang ada dalam dunia perubatan. Ya, rasa malu itu buat aku terasa jauh.


Maka aku ambil keputusan menyekat rakan-rakan sekerja aku di hospital dari melihat Facebook aku. Mahu dibuang terus, aku terasa seperti tidak elok pula. Sejujurnya aku malu bila mereka melihat aku yang jatuh tersadung ditengah perjalanan hidup aku, aku rasa takut jika ada yang menyapa dan bertanya khabar. Apa yang boleh aku kata? Hmmm.

Aku terasa mahu ikut jejak langkah Rani. Persis cerita Hum Tum. Aku mahu selak buku baru dan aku mahu tinggalkan buku lama. Aku mahu jejak kaki ke dunia yang orang kenal aku bukan sebagai Dr. Nur Farhana yang tak mampu menghabiskan zaman housemanshipnya kerana dia tidak kuat menanggung dan menempuh kesakitannya. Aku mahu hilang dalam keasingan. Aku mahu jadi orang asing di dunia asing, dan mereka kenal aku cukup sebagai Nur Farhana. Seorang gadis biasa yang hidupnya kejap naik kejap turun seperti roller coster.


Maknanya pergi meninggalkan orang-orang yang mengenali kau? Ya, jauh di hati kecil aku, itu yang aku mahu lakukan. Tutup buku lama, letak tepi segalanya, buka buku baru, kenal orang baru, tempat baru. 

Mungkin juga blog baru. Siapa tahu kan. Bukan memutuskan hubungan dan silaturahim, cuma menjarak jauhkan hubungan itu. Tunggu nanti bila aku dah mampu bangun dan berdiri, aku dah mampu atasi rasa malu aku, rasa kerdil aku bila berhadapan dengan bekas rakan seperjuanganku, bekas rakan sekerjaku, aku akan kembali.

Aku mahu jadi kuat. Aku mahu jadi orang yang bangga dengan apa yang dia lakukan. Bukan seperti sekarang, yang masih ragu dan terasa seperti seluruh dunia akan memandang rendah padanya kerana keputusan yang diambilnya, meninggalkan kerjaya sebagai seorang doktor. Malah, ada saatnya aku rasa aku kini ibarat satu beban. Terasa seperti satu dunia mentertawakan aku dan memandang rendah dengan keputusan yang aku ambil.


Tapi aku tahu, itu mainan perasaan, tipu daya syaitan. Aku rapuh tapi aku tak akan patah. Aku akan bangkit. Aku akan tebus rasa malu yang aku sendiri cipta ini. Aku akan berdiri atas muka bumi ini dengan rasa bangga kerana aku adalah aku.

Bila kita hidup di dunia kerana mengejar dunia yang fana ini, maka kita akan terasa benar penatnya dan ada waktu terasa seperti mahu berputus asa. Tapi jika kita hidup kerana mengejar dunia di akhirat sana, penat itu takkan terasa atau takkan pernah ada, dan kita takkan berputus asa kerana Allah sentiasa ada. Itulah yang aku pernah lalui, lelah kerana mengejar dunia fana.

Tempoh aku bekerja setahun setengah dan sakit yang aku lalui buat aku sedar dan buka mata. Walaupun jalan yang aku ambil ini perit dan banyak likunya, aku yakin segalanya pasti ada hikmah.

Selamat malam semua. Jaga diri. Assalamualaikum.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
same with me...buat masa sekarang saya masi ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan....but one day saya akan keluar dari belenggu hidup ni...one day.....
@Anonymous

Saya pun ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Cuma saya tak mampu bertahan, jadi saya pergi dan cari cara lain untuk laksanakan tanggungjawab saya. Orang akan kata saya seolah melarikan diri, tapi cuma saya dan DIA saja yang tahu.

Apa pun, all the best. InsyaALLAH one day you'll walk on the path that you've always wanted. InsyaALLAH. :)

Catatan popular daripada blog ini

MRI Oh MRI : Pengalaman 30 Minit Di Dalam Gua Magnet

Parut? Tona Kulit Muka Tidak Sekata? Pigmentasi? Ini Jawapan Saya.

Ingat Lagi Pada Lirik Raikan Cinta?