No! I'm Not Claustrophobic!

3 comments
Assalamualaikum.

Congak-congak dengan jari, oh ada 3 hari lagi. Makin debar, makin menggunung kerisauan. Selama ini aku pernah lihat pernah tenung saja gua itu, tapi masuk, jenguk dan menjelajah ke dalamnya tak berpeluang lagi.

Dengar orang kata, baca tulisan sini sana, bila dah masuk ke dalam gua, jarak pada dinding gua magnet itu hanya 2 inci saja dari muka. Oh! Membacanya saja sudah buat aku sesak. Buat aku rasa berpeluh-peluh dan berdebar-debar.

Claustrophobia?


Oh! Setahu aku, tak pernah lagi dalam sejarah hidup aku, punya rasa tidak selesa di tempat sempit, kecil dan tertutup. Kalau tidak selesa di tempat umum, mungkin ya. Heh!

Oh! MRI terasa menggerunkan sebenarnya. Rasa macam tak cukup udara untuk bernafas bila memikirkannya. Harap berjalan dengan tenang tanpa debar, sesak dan terketar-ketar. Haha.

Jaga diri semua. Selamat malam semua. Assalamualaikum.


Nak Nangis

Leave a Comment
Assalamualaikum.

Ala bucuk bucuk. Kenapa nak nangis di hujung minggu yang indah? Walaupun kurang indah pada bau. Hmm. Sepanjang malam, dah tiga malam sebenarnya, mata tak boleh juga lelap-lelap. Payah benar sampaikan terasa mahu membeli satu tong oksigen dan topeng muka supaya dapat tidur dengan selesa.

Menjelang ke Subuh juga mata ini berjaga, sampailah tersedar rupanya lubang angin dalam bilik lupa ditutup. Dalam rumah tak perlu lagilah nak cerita, macam mana keadaan di luar rumah yang berjerebu, begitu juga di dalam rumah ini sentiasa kelam dan berasap.  Bau pula tak perlulah nak dikata. Rasanya asap sudah menguasai udara 100%.

Entah kenapa, aku sedar diri aku jadi cukup sensitif dengan perubahan cuaca ini. Aku rasa sangat tertekan. Aku rasa sangat seperti mahu menangis.


Ya. Satu lagi nikmat Allah tarik. Nikmat udara segar, nikmat tidur, nikmat rasa selesa dan bahagia. Muar sudah darurat. Indeks pencemaran udara Melaka pula sudah cecah 300++.  Jika Melaka sudah rasa begini, di Muar pula bagaimana. 


Gambar ini aku tangkap 2 hari yang sudah. Hari ini lebih teruk dan lebih tebal. Hmm. Rasa nak nangis.

Apa pun, jaga kesihatan semua. Jaga diri. Assalamualaikum.


Main Masak-Masak, Main Campak-Campak

3 comments
Assalamualaikum.

Malam ini terasa mahu tulis sesuatu tentang makan, makanan. Mungkin kerana nikmat untuk makan dengan berseleranya hari ini telah Allah tarik sedikit, lantas ingatan tentang makanan begitu kuat sampaikan mahu dicoret sedikit dalam lembaran ini.

Sudah 3 hari perut meragam, angin menyerang setiap sudut dalam tubuh badan, mahu terlentang tidur memang tidak mampu, terpaksa bergulung-gulung menahan serangan angin yang datang tiba-tiba. Dan hari ini, semenjak Subuh tadi diuji dengan lagi hebat, perut meragam dengan maha teruk sekali, menjengah bilik air juga rasanya mahu cecah 20 kali. Entah silap makan apa sampaikan jadi begini. Tenaga sudah jadi kosong, pinggang sakit dan lenguh-lenguh, mahu berjalan dan menapak ke bilik air untuk kesekian kalinya juga memang payah.

Selera pun automatik jadi kosong. Hanya telan buah. Bila malam, selera bertambahlah sedikit, itupun bila masuk makanan terus mahu dibuang keluar. Sudah lama aku tidak kena seperti ini, memang dugaan betul. Rasa macam mahu pasang branula sendiri dan masuk air dalam badan. Hehe.


Aku pernah ceritakan sebelum ini dalam entry kecantikan ini, macam mana aku sekarang sudah hampir menjadi healthy freak, but not totally, jadi aku telan macam-macam vitamin dan supplement. Di atas ini adalah antara koleksi yang aku ada. Selenium, Lecithin dan Multivitamins.

Dan kerana sibuk menjaga kesihatan juga, aku pun sibuk main masak-masak. Aku masak mengikut piawaian yang orang sebut sebagai sihat. Dari segi kuantiti minyak, pemilihan herba, sampailah ke bahagian ayam yang mana untuk dimasak. Sebabkan aku terlampau malas untuk menghafal resepi, jadi aku cuma tengok sekali pandang dan seterusnya aku hanya main campak-campak. Aku rasa jika bab masak memasak, kita ikut campak-campak yakni naluri hati kita, ianya adalah lebih mudah dan senang. Dan anda cepat belajar. Pada pandangan akulah. 


Ini adalah ayam masak halia yang memang aku rindu untuk makan. Jadi, bila ada masa lapang, aku pun apa lagi, masak sendirilah. Aku memang peminat tegar cili padi, jadi kebanyakan masakan aku, selagi aku boleh pakai cili padi, aku akan pakai. Plus, dalam cili bukankah ada bahan yang boleh bantu kita dalam proses menurunkan berat badan.

Untuk ayam masak halia, aku perap ayam dengan sos tiram dan lada hitam dalam 30 minit selepas itu aku goreng. Selesai digoreng, kita keluarkan ayam, dan tumislah segala bahan yang ada seperti halia, bawang, cili padi, sos tiram dan sedikit tepung jagung untuk likatkan kuah. Garam sedikit saja sebab sos tiram kan dah masin. Dan selepas itu, campak ayam yang digoreng tadi ke dalam bahan yang kita tumis. Siap!!


Untuk ayam masak pedas ini paling senang, macam biasa ayam kita lumur dengan kunyit dan garam sedikit lalu kita goreng. Selepas itu kita sediakan bahan menumis. Blend saja bawang merah, bawang putih, cili padi dan sedikit belacan. Seterusnya kita tumis sampai garing dan masukkan saja ayam yang telah digoreng tadi. Siap!! 


Ayam goreng rempah. Memang favourite aku sebab aku boleh eksperimen dengan macam-macam benda untuk tahu mana yang sedap mana yang tak. Aku pernah pakai serbuk kari, cili boh, bawang merah, bawang putih, sos tiram, kicap, lada sulah, lada hitam, jintan putih, jintan manis dan macam-macam bahan lagilah yang boleh aku capai dalam dapur. Well, after all masak ini sebenarnya eksperimen. Cuba segala kemungkinan yang ada. Explore explore explore. And then only we learn.



Apart from main course, aku pun belajar main masak-masak dessert orang Melayu kita, iaitu kuih kesukaan aku, kuih lompang. Aku suka apa saja kuih yang ada kelapa parut. Buat kuih lompang tak adalah susah mana tapi berpeluh-peluh jugalah. Untuk masak kuih, memang tak boleh pakai konsep campak-campak dan agak-agak okay. Kena ikut sukatan, kalau tak nanti, bukan lembik sangat mesti keras berdentum. Macam kuih yang aku buat, aku cuba 2 adunan. Satu adunan menjadi, dan satu lagi agak keras sedikit. Jadi lain kali aku tahulah sukatan apa yang seeloknya diguna untuk buat kuih lompang.

Kalau ikutkan, banyak lagi aku nak explore, banyak lagi aku nak eksperimen. Sebab ianya memang menyeronokkan dan meredakan stress tapi masa tak mengizinkan. Hoping one day, aku boleh buka restoran ataupun mungkin terbitkan buku masakan. Other than travelling, photography, cooking is another stress therapy that I love so much. Kesemuanya ada bahagian dalam impian dan angan-angan aku. Harap satu hari nanti jadi kenyataan. Mudah-mudahan. Amin.

Okay. Sampai sini saja. Nak sambung rehat. Perut masih bergelodak, macam ada perang di dalamnya. Haha. Till next entry then. Take care. Assalamualaikum. ^^

Bahagiamu Deritaku?

Leave a Comment
Assalamualaikum.

Amboi. Tajuk saja nak ambil aura lagu yang tengah popular sekarang. Tambah lagi boleh kata tiap-tiap hari aku dengar adik lelaki aku petik gitar sambil memekik lagu nyanyian Hafiz ini. Bahagia, derita, bahagia, derita. Apa kes?

Bulan Mei bulan Jun bulan yang penuh dengan kebahagiaan dan kegembiraan untuk kebanyakan orang. Ada yang bertunang, ada yang mendirikan rumahtangga, ada pula yang menyambut kelahiran anak yang dikandung selama 9 bulan. Bahagia kan?

Rakan-rakan sekolah menengah aku, semua dalam perjalanan menambah anak kedua. Cuma menanti untuk meletup saja. Satu matriks pula masing-masing sedang seronok berpantang dan menyusukan anak pertama. Yang mana satu universiti semuanya menyatakan kegembiraan telah hamil beberapa minggu, beberapa bulan.

Musim untuk aku cemburu pada rakan-rakan yang mendirikan perkahwinan dah pun berlalu. Ewah. Boleh pula berlalu pergi ya. Sekarang musim mencemburui mereka-mereka yang sibuk mendukung bayi kecil, yang sedang sarat mengandung, yang sedang pimpin tangan anak kiri dan kanan. Entah kenapa kali ini cemburu yang dirasakan adalah lebih teruk berbanding cemburu-cemburu yang dahulunya. Haha. Boleh pula sambil belek-belek mukabuku dan tengok bayi-bayi comel, anak-anak sahabatku, pasti meleleh barang setitik dua titik air mata. Ah! Hati tisu ini tersentuh lagi. Dan malamnya sebelum tidur, pasti duduk merenung siling dan berfikir tentang masa depan.

Aku sampai berfikir, kalau tak ditakdirkan untuk berkahwin pun tak apalah, yang penting aku mahu ada anak. Selalu aku duduk berangan, aku terjumpa bayi yang dibuang orang, lalu aku kutip, aku jaga. Memikirkan itu sangat membahagiakan. Sudah cukup. Tak akan minta lebih-lebih lagi dah.

Bukan aku tak bersyukur, bukan juga aku mempertikaikan, aku sedar dan aku masih kuat berpegang setiap dari kita akan tiba waktu masing-masing, setiap dari kita Allah sudah berikan bahagian rezeki masing-masing. Berusaha dan berserah selebihnya.

Tapi.. Tak salah kan kalau ada waktunya rasa seperti itu hadir dalam diri kita. Namanya pun manusia, yang ada macam-macam perasaan dalam diri. Lagipun kalau rasa cemburu boleh mendorong diri kita ke depan, bukankah itu bagus?


 Bahagiamu deritaku? Oh tidak! Tak semestinya bila orang lain bahagia, kita tak boleh bahagia. Bahagia atau derita kita yang berhak tentukan sebab ianya hidup kita. Kan? Seharusnya bahagiamu bahagiaku jua. Bahagiamu datang dulu, bahagiaku akan hadir kemudian. Tapi, bahagia akan tetap datang. Betul tak cik bahagia? ^^

Aku ibaratkan kehidupan aku macam baton dalam lari berganti-ganti. Dan setiap pelari itu adalah insan-insan penting dalam hidup aku, mak ayah, adik beradik, rakan-rakan baik termasuklah juga diri aku sendiri. Dan, the unknown other half. Macam mana kita penat tercungap-cungap, cedera, kita jatuh tergolek dalam larian itu, kita kena berusaha kejar penamat itu. Penamat itu adalah bahagia. Cepat atau lambat, kita tetap akan sampai. Nikmatilah setiap fasa larian itu bersama pelarinya. Itu yang penting. Sebab kesemua merekalah yang bawa kita menuju penamat, bila kita penat lelah tak larat meneruskannya, ingatlah, mereka juga ada di situ. Kita bukan berlari seorang diri. :)


Selamat malam semua. Jaga diri. Assalamualaikum.


HEART SPEAKS : Andai kata aku pergi dulu suatu hari nanti, aku harap pelari-pelari dalam hidup aku akan tetap teruskan larian mereka sampai ke garisan penamat. :)

Renjatan Elektrik Dan Gua Magnet

4 comments
Assalamualaikum.

Malam ini malam Jumaat. Jam pun hampir menuju ke 12 tengah malam. Hari ini badan ada terasa kepenatan sedikit, kebas di sana sini, tanda-tanda penuaan barangkali. Orang pasti kata, "Ah! 26 bukan tua mana!"

Dalam seminggu ini, banyak yang aku alami, aku lalui dalam kehidupan yang aku harung sehari-hari. Dulu selepas 2, 3 bulan aku mula bekerja dan mengharungi semua fasa adaptasi dan tekanan kerja, aku perlahan-lahan mula untuk menerima dan menyukai apa yang aku ada kini. Bila aku atur satu persatu rancangan masa depan, tiba-tiba aku tersadung batu di tengah jalan.


Batu yang menyebabkan jalan aku sedikit sebanyak berubah, acapkali juga aku ingin putus asa dan kembali berpatah balik ke titik mula kerana aku rasakan aku sudah hilang arah tapi syukur aku masih di sini meneruskan jalan yang berliku walaupun ternyata lebih sukar dari yang dibayangkan. Terus cuba bertahan selagi ada daya dan upaya kerana DIA ada. DIA yang sentiasa mendengar doa hamba-hambaNYA.


Sebenarnya, dipendekkan cerita, kerana keadaan kesihatan aku yang tak banyak perubahan dan kemajuan, kali ini aku dirujuk pula ke jabatan lain. Berjumpa dengan pakar saraf Hospital Melaka, Dr. Uduman Ali, buat aku rasa sedikit kecut perut. Saraf yang kita sebut-sebut di sini, manalah tak kecut perut. Iya tak?

Oleh kerana kesihatan aku yang tiada kemajuan dan sakit yang tak pernah hilang, doktor syak aku berkemungkinan mengalami masalah saraf di bahagian tulang belakang, iaitu di kawasan LUMBOSACRAL. Ianya ibarat seperti saraf itu dihimpit, tersepit, atau tersumbat sehingga menyebabkan masalah yang aku alami ini. Diagnosis LUMBAR CANAL STENOSIS itu walau bagaimanapun masih belum disahkan dan tak pasti lagi. Makanya untuk menuju ke diagnosis yang tepat dan untuk mengubati masalah tersebut aku perlu menjalani beberapa prosedur.

Dan di bawah ini adalah salah satu prosedur yang aku lalui, NERVE CONDUCTION STUDY. Aku menjalani prosedur ini pagi tadi. Terima kasih pada PPP Fathur yang banyak membantu. Hati agak berdebar juga nak melaluinya tapi selepas berborak dengan Encik Fathur, rasa kecut perut dan gentar perlahan-lahan hilang. ^^
  

Tujuan NCS ini adalah untuk mengesan apa sebenarnya masalah saraf yang dialami dan di mana puncanya boleh diketahui secara rambang. Prosedur ini tidak menyakitkan. Cuma agak terkejut-terkejut. Mana tidaknya, bila kaki dan tangan dikenakan renjatan elektrik untuk menguji keupayaan saraf anda, terkejut semua otot-otot yang berdekatan, melompat-lompat "kegirangan". Haha. Laporannya aku perlu tunggu sebulan lagi, akan diketahui semasa follow up aku yang seterusnya.

Prosedur yang lagi satu perlu aku jalani adalah MRI tulang belakang. Tapi tarikhnya lambat lagi, 1 Julai 2013. Sempat lagi aku nak betulkan skru tulang belakang yang longgar kot. Ekeke. Kali pertama memasuki gua batu besi elektronik. Kecut jugalah. Selalunya cuma menemani pesakit menjalani prosedur tersebut, tapi kali ini diri sendiri yang akan terbaring di meja keras MRI tersebut. Phew!


InsyaALLAH. Mudah-mudahan tiada yang abnormal kelihatan. Perlu kuat dan sihat semula. Tanggungjawab terlalu banyak terlalu besar perlu dipikul dan diharung. Wahai anak-anak sarafku sekalian, sihat-sihatkanlah diri kalian ya. Semoga tiada benda pelik nanti. Mudah-mudahan. 

Dalam keadaan kurang sihat ini, kehidupan tetap perlu diteruskan. Walaupun kadang rasa sukar tapi kena cuba juga. Kita sendiri kena kuat, tak ada orang boleh kuatkan kita, cuma kita boleh minta doa pada ALLAH, mohon terus diberi kekuatan mengharungi ujianNYA. Amin.

Okay semua. Sampai sini saja. Senyum-senyum selalu. Jaga diri. Salam Jumaat dan salam Israk Mikraj. Selamat malam. Assalamualaikum.


HEART SPEAKS : Perkataan tulus terngiang-ngiang di telinga semenjak dua menjak ini. Lawaklah Farhana ni. Haha.  Aku, tuluskah aku? Hmm.

Change Of Heart

2 comments
Assalamualaikum.

Apa khabar semuanya? Terasa seperti makin jauh dengan dunia, berbulan-bulan aku mengurung diri, menjarakkan diri dari dunia yang aku rasakan bukan dunia aku. Saban hari aku bertanya, aku mempersoalkan, kenapa aku di sini? Bagaimana aku sampai ke sini? Bahagiakah aku?

Dalam perjalanan mencari jawapan kepada tiap persoalan itu, aku mula sedar, aku dah kecewakan ramai orang. Aku dah melukakan hati mereka yang sayangkan aku. Aku dah jadi terlalu mementingkan diri. Aku hidup hanya memikirkan aku, aku lupa mereka yang ada di keliling, aku lupa yang namanya tanggungjawab, untuk diri dan untuk mereka-mereka. Aku dikata tidak matang, aku terlalu mengikut hati, terlalu kebudak-budakan. Aku memberontak kerana label itu, panggilan itu, aku begitu keras hati, gelap mata, aku cuma nampak aku dan diri aku. Hakikatnya, semuanya benar belaka. Heh! Such a selfish person I am. Self centered. Ini ke si gadis yang begitu menjunjung kasih sayang, kehormatan dan keluarga? Sudah berubahkah gadis ini? 


Aku seringkali berdoa, supaya keadaan aku akan berubah jadi lebih baik. Aku akan bahagia dengan apa yang aku suka lakukan, aku akan berjaya keluar dari situasi yang sukar untuk aku lalui. Tapi aku terlupa, mungkin apa yang DIA mahukan bukan untuk aku lari dari keadaan ini, bukan untuk aku berubah dari apa yang aku tak suka kepada apa yang aku suka, bukankah DIA Maha Mengetahui akan apa-apa yang terbaik untuk hambaNYA.

Barangkali DIA mahu aku buka mata buka hati, buka seluas-luasnya, belajar menyukai belajar mencintai, belajar juga ikhlas dan redha. Mengubah rasa hati kita kadang bukanlah sesuatu yang buruk, memang kita rasakan sukar, memang kita akan mempersoalkan kenapa mahu hidup terseksa melawan kata hati, kenapa kita tidak boleh hidup bahagia dengan apa yang hati kita suka, memang sukar mengubah hati, ya benar. Tambah lagi jika yang kepalanya keras seperti aku.

Tapi kita lupa, kita adalah manusia yang lemah, kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa depan, kita rasa kita akan bahagia dengan menurut kata hati, tapi bukankah ALLAH lebih mengetahui segalanya? Allah beri sesuatu itu dengan hikmah di sebaliknya, Allah aturkan jalannya seperti itu kerana DIA tahu apa yang terbaik untuk setiap dari umatNYA. Tak semua benda yang jika kita ikut kata hati kita, kita akan gembira, kita akan bahagia. Kita boleh gembira, kita boleh bahagia walau macam mana pun kita, sebab segalanya datang dari diri kita. Dan aku, sedang melaluinya. Melalui satu fasa yang aku perlu belajar, segalanya berpunca dari diri kita. 


Makanya, aku akan selalu doa, memohon padanya apa-apa jua yang paling baik untuk aku, andai aku tidak menyukainya, aku pohon doa agar dihadirkan rasa itu perlahan-lahan suatu hari nanti. Aku juga boleh bahagia walaupun aku tak dapat apa yang aku inginkan, yang paling penting aku harus bersyukur apa yang aku ada sekarang, kerana itu yang terbaik buat masa sekarang. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui segalanya.

Timbalan Pengarah hospital pernah kata pada aku, "Allah bagi apa yang kita nak. Kamu nak jadi doktor, dan sekarang kamu adalah seorang doktor. Ingat itu."

Abah pesan juga pada aku, "Allah itu pemurah, pengasih dan penyayang. Dia turunkan rezeki untuk semua umatNYA. Awak dah jadi doktor, itu rezeki yang Allah bagi dekat awak, kenapa awak nak tolak rezeki yang Allah bagi?"

Salam hujung minggu semua. Selamat menunaikan solat Subuh. Jaga diri. Assalamualaikum.
:)


Cahaya Yang Riang Gembira. Dikuasakan oleh Blogger.